Pages

Saturday, February 27, 2010

alasan kemalasan

ya, aku mengaku, memang aku semakin dilanda kemalasan sekarang.

aku memang sangat malas menulis blog sekarang. walaupun rasanya ada benda yang aku nak cerita, biasanya aku akan hold sehingga weekend, sehinggalah weekend berakhir barulah aku sedar weekend sudah habis.

ya, aku sudah malas.

puncanya ada beberapa.

1. backpack aku sudah rosak, dan aku hanya menggunakan beg laptop yang galas tepi. oleh sebab aku hanya berjalan kaki ke opis tiap-tiap hari, sangatlah bahaya kalau aku bawak balik laptop opis hari-hari. PLUS aku malas nak galas tepi, sangat menyeksa diri. kalau backpack tu ok jugak.

2. laptop aku yang zaman dahulu kala tu semakin lembap, jadi aku jarang bukak. sebab aku jarang bukak dia jadi makin lembap. sebab aku dah makin jarang-jarang bukak, maka makin lembaplah dia. jadi aku jadi lembap bila nak bukak laptop yang lembap itu.

3. kadang-kadang bila cuaca tidak menentu, aku mula sakit kepala dan aku mula mencari panadol soluble. (tim mesti tak percaya aku dah jadi 'drug addict'..) jadi bila panadol mula mengisi sistem tubuh aku, maka aku mula rasa mengantuk dan tertidur seawal pukul 8..

4. aku kadang-kadang rajin bawak balik kerja kat rumah. tapi hanya bawak saja, bukan buat pun. jadi untuk tidak merasa bersalah pada diri sendiri, aku tidak bukak laptop.. bila laptop tidak dibukak macam mana nak update blog?

5. aku rasa aku tak perlu update buat seketika...

dan puncak segala alasan,

6. memang aku malas nak update blog sekarang.


Sunday, February 21, 2010

Tujuh keajaiban dunia..

dalam satu kelas, semua murid dikehendaki menyenaraikan 7 keajaiban dunia. hampir semua murid menyenaraikan seperti berikut:

1. piramid
2. tembok besar China
3. Taj Mahal
4. Menara Condong Pisa
5. Kuil Angkor
6. Menara Eiffel
7. Kuil Pathernon

kecuali seorang yang tidak menghantar kepada gurunya. gurunya bertanya jika dia tidak tahu untuk menyenaraikan. lalu dia menjawab, "ya, agak susah, kerana terlalu banyak, dan saya tak tahu untuk memilihnya."

"Senaraikan, mungkin kami boleh membantu untuk memilihnya.." kata guru tersebut.

"Saya rasa 7 keajaiban dunia ialah..

1. boleh melihat

2. boleh mendengar

3. boleh menyentuh

4. boleh menyayangi

dia berhenti sebentar, kemudian menyambung..

5. boleh merasakan

6. boleh tertawa

7. dan, boleh mencintai


*cerita adaptasi dari sebuah e-book, membuat aku betul2 berfikir panjang... alangkah tak bersyukurnya aku ini...

Saturday, February 20, 2010

cinta seorang teman

Zed lebih merupakan cinta monyet aku walaupun hakikatnya kami tak pernah bercinta. Zed lelaki pertama yang membuatkan hati aku bergetar, berada di awangan. Pertama kali mengenali Zed, aku dalam darjah lima. Kami dari sekolah berlainan dan aku mengenali Zed apabila dia datang ke sekolahku untuk berlatih. Hanya 2 orang asing dalam pasukan tu, dan pantas aku menyedari kehadiran Zed, walaupun tak pernah bertegur sapa.

Dan suatu hari kakak bertanya, ada seorang dari SKP berlatih kat sekolah? Aku sudah tahu siapa yang kakak maksudkan, tapi apa kaitan dia dan kakak? Akhirnya aku tahu bahawa Zed ialah anak kepada kawan kakak. Kecilnya dunia ini. Dalam hati aku selalu berharap untuk mengenali Zed dengan lebih dekat, namun itu tak pernah berlaku, sehinggalah dua tahun selepas itu. Aku jauh dari sekolah lain, dan Zed juga dari sekolah lain, namun kami ditakdirkan untuk bersama dalam satu kelas semasa tingkatan 1. Kali pertama bersua dengan Zed selepas dua tahun, hanya Tuhan yang tahu perasaan tu.

Semasa di tingkatan 1, aku tak begitu baik dengan Zed walaupun hanya 16 orang dalam kelas tersebut. Aku selalu tertunduk dengan renungan tajam Zed. Zed juga tidak begitu peramah denganku walaupun dia begitu baik dengan orang lain. Masuk tingkatan dua, aku menerima sekeping surat layang, ‘menawarkan cinta’, tanpa nama, tanpa penerima, namun aku akhirnya tahu surat itu dari Zed untukku. Aku malu teramat, apatah lagi seisi kelas mengandungi tahu kandungan surat itu. Betapa malunya aku berhadapan surat tu, sehingga aku menjadi benci pada Zed, tanpa sebab yang jelas.

Akhirnya Zed menyampaikan utusan berterus terang kepadaku, bahawa surat itu memang darinya, dan dia hanya main-main dengan surat tu. Sampai hati Zed! Main-main dengan perkara seperti itu. Tapi segala penjelasan Zed melalui utusannya sudah terlewat. Aku tahu Zed hanya berkata begitu supaya aku tidak marah padanya. Jauh disudut hatinya, perasaannya sama dengan perasaanku. Aku tahu itu. Dan hampir semua orang tahu itu. Tapi bagiku penjelasan Zed itu tiada maknanya. Tak akan mengubah apa-apa.

Sejak itu aku benci Zed. Pandang wajahnya pun aku tidak mahu. Apatah lagi bercakap dengannya. Selama hampir setahun aku tidak bertegur sapa dengan Zed. Alangkah sukarnya keadaan itu. Kami sama-sama pengawas. Dan kami sama-sama bermain satu pasukan. Akhirnya suatu hari ketika hampir peperiksaan akhir tahun, Zed menghampiri, meminta maaf dan mahu kami berbaik semula. Maafnya aku terima dengan senang hati. Setahun tidak bertegur sapa dengan Zed adalah penyeksaan teramat. Namun segalanya tidak lagi seperti dulu. Zed bertambah pendiam denganku. Sangat pendiam. Dan pada masa yang sama aku mendengar dia cuba menjalin hubungan dengan seseorang. Sungguh aku terluka. Seperti terlukanya Zed bila mengetahui aku diminati orang lain. Namun paling aku tak lupa sehingga kini, hadiah dari Zed pada hari lahirku yang ke-15. Sebuah mug yang cukup cantik lukisannya.

Tamat tingkatan 3, aku dan Zed masing-masing berhijrah ke sekolah berbeza. Dua tahun aku dan Zed masing-masing menyepi. Jauh di sudut hati, aku selalu teringatkan Zed, namun aku tidak pasti apa sebenarnya hubungan kami. Masing-masing tak pernah meluahkan secara jelas. Dua tahun itu juga tidak pernah ada sesiapa di hatiku yang mampu menandingi Zed. Entah apa khabar Zed di sekolah barunya.

Pertama kali aku berjumpa semula dengan Zed tamat tingkatan lima ketika reunion kelas. Pada masa itu aku hanya bercakap sepatah dua dengan Zed. Entah apa yang tak selesai antara aku dan Zed. Selepas mengetahui keputusan SPM, Zed menghubungiku. Bertanya perancangan aku seterusnya. Zed ke matrikulasi Perlis dan aku ke matrikulasi Negeri Sembilan. Seorang ke utara dan seorang jauh ke selatan. Mungkin bukan jodoh kami. Selama setahun kami tak berhubungan.

Tamat matrikulasi dan setelah mendapat tahu keputusan ke universiti, aku menghubungi Zed. Dia mendapat peluang ke USM dalam bidang sains pendidikan dan aku ke UM, bidang kejuruteraan. Aku di tengah-tengah Kuala Lumpur dan Zed masih di utara. Selepas itu, masing-masing membisu. Bertahun lamanya.

Di UM, aku mengenali lebih ramai lelaki, dengan perangai yang macam-macam. Dalam hati, masih terselit nama Zed. Namun apalah harga sebuah penantian. Masa yang tak akan tiba sampai bila-bila. Aku cuba melupakan Zed, cuba menyemai cinta baru dalam hatiku. Namun sehingga tahun ketiga aku masih sendiri. Entah apa silapku. Bukan tiada yang mendampingi, tapi aku belum cukup bersedia. Rasa bersalah pada Zed semasa di tingkatan dua lama dulu masih menghantui. Aku masih belum tahu erti cinta sebenarnya.

Semester pertama tahun tiga, entah kenapa aku diburu bayangan Zed. Hampir setiap malam aku bermimpikan Zed. Sehingga kadang-kadang mengganggu lenaku. Sudah tiga tahun aku tidak berhubungan dengan Zed, tetapi kenapa ia kembali menghantuiku. Dalam tidurku aku selalu mimpikan Zed, datang dan tersenyum kepadaku, dan aku gembira bertemu semula dengan Zed. Namun semunya musnah sebaik aku membuka mata. Di manakah Zed? Apakah petunjuk untuk semua ini?

Semasa minggu ulangkaji aku tidak dapat menahan diriku dari mencari nombor telefon Zed. Aku tak sanggup lenaku diganggu lagi. Kalau ada yang tak selesai, biarlah sekarang masanya aku selesaikan dengan Zed.

Beberapa orang kawan lama cuba aku hubungi, namun tiada seorang pun yang menyimpan nombor telefon Zed. Aku hanya mempunyai nombor rumahnya dan aku masih belum mempunyai kekuatan untuk manghubungi rumahnya dan menanyakan nombor handset Zed. Pasti ada cara lain. Akhirnya seorang kawan mencerahkan harapanku.

“Saya hanya ada nombor emaknya, tapi nombor Zed tak ada.”

Emaknya adalah cikguku, kawan kepada kakakku. Dan aku tak akan menghubungi emaknya untuk mendapatkan nombor Zed. Namun mesej kawanku kemudiannya mengandungi nombor Zed. “Saya minta dari emaknya.”

Syukurnya aku tidak terkira. Tak terucap rasa terima kasih kepada kawanku yang seorang ini. Namun sesuatu bermain dibenakku. Ingat lagikah Zed padaku? Bagaimana kalau dia telah melupakan kewujudanku. Bagaimana kalau dia sudah mempunyai teman istimewa. Ah, itu semua tidak penting, yang penting aku menghubungi Zed, melunaskan segala-galanya agar lenaku tidak terganggu lagi. Selfishkah aku? Tidak, aku bukan selfish. Memang aku ingin sekali menghubungi Zed. Aku tak dapat lupakan Zed walau ke ceruk mana pun aku pergi. Zed tetap ada tempatnya sendiri dalam hatiku walau berpuluh lelaki lain datang.

Akhirnya aku kuatkan tekad, aku gagahkan semangat, pantas aku taipkan mesej untuk Zed.
“Hi. Apa khabar sekarang?”

Menunggu balasan dari Zed, seolah-olah menunggu hakim memutuskan untuk menjatuhkan hukuman mati ke atasku. Aku gelisah. Aku cuba membuang gelisahku dengan membaca nota. Sia-sia. Keresahanku bukan pada nota itu. Keresahan aku adalah kepada penerimaan Zed terhadap mesejku.

Sedetik. Dua detik. Aku menunggu tidak sabar.

Penantianku tidak lama.

“Saya sihat. Sorry siapa ni?”

Debaranku sedikit reda.

“Adila.”

Biarlah apa pun penerimaan Zed, aku rela. Biarlah apa pun yang Zed fikirkan, aku tak ambil peduli.

“Oh, Adila, kekasih lama rupanya. Tiap-tiap hari saya ingat awak.”

Aku hampir pengsan membaca mesej Zed. Masih belum pengsan. Sejuta rasa berbaur. Resah. Gelisah. Rasa bersalah. Terharu. Dan rindu. Tiba-tiba aku rindu pada Zed. Zed masih tetap ingat kepadaku. Berdosakah aku pada Zed dulu. Melayaninya sebegitu rupa.

Zed bertanya tentangku, dan aku bertanya tentangnya. Aku menceritakan perihalku di universiti, dan juga kehidupanku. Aku perlu melepaskan segala-galanya. Dan Zed juga bercerita tentang kehidupannya di USM. Dan katanya, dia pernah bercinta sekali dahulu, dan putus. Kini dia masih sendiri. Pertemuan semula setelah sekian lama, masing-masing sudah berani meluahkan perasaan. Itulah yang aku harapkan. Sebuah kejujuran.

Zed berterus-terang, dahulu dia memang sukakanku, namun aku yang tidak mengendahkannya. Aku yang sombong dengannya. Kata-kata Zed langsung tidak aku sangkal. Memang itu aku.

Dan aku perlu buang egoku kali ini. “Does it remain?”

Zed menelefonku. Buat pertama kalinya Zed menelefonku. Bertahun-tahun aku tidak mendengar suara Zed. Suara itu tidak berubah.

“Saya nak jawab soalan tadi.”

Aku menanti.

“Jawapannya, yes.”

Aku tak perlu berfikir panjang lagi. Itulah jawapan untuk segala mimpi yang menghantuiku selama ini. Untuk semua rasanya bersalah yang aku tanggung bertahun-tahun. Untuk semua ingatanku pada Zed yang tak pernah kunjung padam. Dahulu aku terlalu takut untuk mengetahui kebenaran, tapi kini aku bersedia untuk segala kemungkinan. Jawapan yang paling aku takuti itu rupanya hanyalah satu perkataan!

Sejak itu aku dan Zed mula berhubung. Kekok tetap ada. Kami sudah terlalu lama terpisah. Sudah ketinggalan cerita satu sama lain terlalu banyak. Dan aku cuba memahami Zed sebaiknya. Tiga tahun aku berada dekat dengannya, namun aku sebenarnya tidak kenal siapa Zed. Dan aku pasti Zed juga tidak begitu mengenaliku. Kami dekat tapi jauh. Kami saling menyimpan perasaan namun masing-masing berdiam diri. Setelah betahun-tahun barulah berani meluahkan. Anehnya cinta.

Dalam berhubungan aku cuba menilai, apakah perasaan aku pada Zed masih sama seperti dulu. Apakah perasaan Zed juga tidak berubah. Kadang-kadang aku dan Zed seolah-olah terasing. Dan keterasingan itu terserlah setelah kami bertemu. Enam tahun banyak mengubah Zed di mata aku, dan pastinya aku di mata Zed. Sejak pertemuan itu Zed lebih banyak menyepi.

Aku mula merasakan bahawa keterasingan itu menjauhkan Zed dari aku. Aku sendiri tidak pasti apakah sebabnya sehinggalah aku pada suatu hari dengan rasa tidak tertahan, aku menghantar mesej kepada Zed, meminta kepastian.

“Who are we actually?”

Aku tidak mahu berpura-pura kepada Zed dan aku juga tak mahu Zed berselindung apa-apa dariku. Sebelum perasaanku pergi lebih jauh, aku perlukan penjelasan Zed.

Rupanya pertanyaan itu mengundang rasa marah Zed.

“I’m not as realistic as u.” dan ayat Zed yang seterusnya lebih melukakan aku. Kali pertama Zed menunjukkan kemarahan kepadaku. Hatiku terusik.

“Ok, that’s fine then.” Balasku marah.

“You deserve better than me.”

Selama bertahun-tahun aku menutup pintu hatiku untuk orang lain, dan hanya itu penjelasan Zed padaku? Adilkah pada penantianku selama ini?

Hatiku terluka amat. Lama aku menyepi dan menyendiri. Aku tidak mahu menghubungi Zed lagi. Sampai mati aku tak mahu ambil tahu fasal Zed.

Zed menghantar mesej kepadaku. Meminta maaf. Katanya dia tidak layak untukku. Siapakah Zed untuk menentukan apa yang terbaik untukku?

Sia-sialah penantianku selama ini. Sia-sialah aku mengunci pintu hatiku. Pergilah mimpi. Pergilah mencari yang asli.

Dan dalam diam aku cuba menilai. Siapakah Zed pada aku sebenarnya. Sejauh manakah Zed berkepentingan dalam hidupku. Dan yang paling penting, apakah perasaan aku pada Zed itu sebenarnya cinta? Atau itu masih lagi hanya rentetan perasaan seorang kanak-kanak perempuan yang terpesona melihat aksi seorang lelaki tampan di gelanggang semasa darjah lima dulu? Hanya sejauh itukah perasaanku pada Zed?

Aku tidak dapat menjawab persoalan itu.

‘You deserve better.’ Kata-kata Zed terngiang-ngiang. Kalau itu maksud Zed, aku doakan ia benar-benar berlaku.

Aku bertemu cintaku tidak lama selepas itu. Cinta pertamaku. Cinta yang sangat indah. Aku seharusnya berterima kasih kepada Zed.

Dua tiga hari sebelum hari lahir Zed, aku menghubunginya semula. Permusuhan ini tak akan ke mana. Aku meminta maaf atas segala yang berlaku dulu.

Pada hari raya hujung tahun itu, Zed bertandang ke rumahku.

Selepas itu dia bertanya kepadaku, “Betulkah awak sedang bercinta sekarang?”

Aku tidak mahu melukakan hati Zed, aku juga tidak mahu membohonginya.

“Ya.”

“Oh, semoga berbahagia.”

Aku tak tahu apa reaksi Zed. Semoga dia menerimanya.

Aku dan Zed berhubungan semula. Sebagai kawan. Aku tidak mahu memusuhi Zed.

Setahun kemudian, aku putus cinta pertamaku. Dan terluka amat parah. Zed masih tetap ada untukku. Namun dia telah bertemu gadis pilihan hatinya. Aku kecewa? Agak terasa, tapi aku tidak berhak menyekat. Zed berhak mendapat cintanya. Zed selalu meniupkan kata-kata semangat kepadaku. Sungguh aku menghargai Zed kali ini.

Benar Zed bukan cintaku, tapi Zed mengajar aku apa itu cinta sebenarnya. Apa ertinya kawan, siapa itu kekasih, apa itu cinta, sayang dan suka, dan betapa uniknya sebuah persahabatan itu. Aku kira penantian aku pada Zed selama bertahun-tahun bukan sia-sia.

Aku terus berhubung dengan Zed, sehingga ke hari ini. Perhubungan persahabatan yang sungguh mengasyikkan. Mungkin jodoh kami bukan bersama, tapi aku di‘jodoh’kan berkawan dengan Zed, setelah pelbagai kisah kami lalui. Aku gembira untuk kebahagiaan Zed, biarpun aku masih mencari cintaku.


Thursday, February 18, 2010

percaya diri

“Anda perlu mempercayai diri anda ketika tiada siapa mempercayainya.

Itu yang membuatkan anda menjadi pemenang.”

Venus Williams
Pemain tenis professional


aku sudah membuat dosa kepada diri sendiri...

Sunday, February 7, 2010

the power of dreams!

masa kecil dulu aku selalu bermimpi (berangan).

impian aku sangat banyak. yang kelihatan seperti mustahil untuk budak-budak kampung seperti aku. tambahan lagi aku dibesarkan secara agak 'pasif', memang banyak yang kelihatan sangat mustahil. tapi aku tak pernah berhenti bermimpi.

dari kecil aku suka menulis. menulis impian aku. menulis cita-cita aku. menulis cerita aku. menulis perasaan. aku tak pernah jemu menulis.

kadang-kadang aku dipengaruhi anasir-anasir tepi yang melunturkan semangat, mimpi dan cita-cita aku. aku bersekolah di sekolah kampung, rakan-rakan sekelas aku juga duduk sekampung. dan aku selalu menjadi mangsa untuk orang rendah-rendahkan kemampuan aku, tapi bagi aku, cita-cita aku, impian aku, mimpi aku, aku yang tentukan.

akhir tahun darjah enam, aku tercalon aku biasiswa anugerah bintang, hanya seorang yang akan terpilih bagi seluruh negeri kelantan. ya, aku tak menang, tapi sudah tercalon pun aku sudah cukup puas hati. dari darjah satu lagi ada saja orang yang mengata pasal aku. dan aku berjaya tutup mulut orang-orang itu. kadang-kadang tak perlu kata-kata tajam dibalas dengan kata-kata juga. dalam banyak masa diam itu lebih baik.

bila-bila pun aku suka bermimpi. membayangkan diri aku dalam situasi tertentu. dan aku selalunya berjaya dengan mimpi itu, walaupun tak semua. dari seorang budak kampung yang dibesarkan sangat pasif, secara tak langsung aku banyak mengejutkan keluarga aku.

aku boleh menilai sendiri, keadaannya bila aku suka berimpian, dan bila masa aku hanya berserah pada nasib dan keadaan. hasilnya tak sama.

kadang-kadang ada jugak ketika bila kita merasakan nasib terlalu jauh dari kita. apa saja yang kita buat itu tak kena. segala perancangan kita lari. dan saat itu kita mula menyalahkan Tuhan. Tuhan tidak menyayangi aku. Tuhan tak mahu aku berjaya. tapi kita lupa sesuatu. yang kita fikirkan baik itu tak semestinya baik untuk kita. yang kita fikirkan buruk itu tak semestinya tidak baik untuk kita. hanya Tuhan yang mengetahui segalanya.

jadi tidak salah untuk kita bermimpi. jika ia baik, Tuhan akan laksanakan. jika ia tidak baik untuk kita, Tuhan akan jauhkan.

daripada kesedaran itulah aku mahu bermimpi lagi.

hidup sentiasa luas terbuka.

berlarilah azma, kejar mimpi zaman kecilmu....